Nasi Bukhari Kak Wan





Nasi Bukhari

Bahan-bahan

4 cawan beras gred A1 (untuk 6 orang makan)

1 kg daging

1 bungkus rempah kari daging

2 sudu besar serbuk ketumbar

2 sudu kecil cili boh

2 labu bawang besar

7@ 8 ulas bawang merah

3 ulas bawang putih

1 cawan kecil kismis

Beberapa biji cengkih, buah pelaga dan kulit kayu manis ( rempah menumis )

1 bungkus rempah sup bonjot

2 sudu besar minyak sapi

Beberapa hiris halia

4 tangkai daun sup / saderi

6 biji tomato masak

Garam, gula dan serbuk perasa secukupnya

Minyak untuk menumis

2 sudu besar perahan air limau nipis

2 sudu perahan air asam jawa



Cara membuatnya

Beras dibasuh bersih dan ditoskan.

Daging dipotong segi empat (5 cm x 5 cm) dan dibersihkan.

Bawang merah, bawang putih dan halia ditumbuk lumat. Bawang besar, buah tomato dibelah lapan. Daun sup dipotong-potong (lebih kurang 3 cm).

Panaskan periuk dan masukkan setengah cawan minyak serta 2 sudu minyak sapi

Bila minyak sudah panas, masukkan rempah menumis, bawang yang telah ditumbuk dan kacau sehingga kelihatan kekuningan

Masukkan serbuk ketumbar dan rempah kari daging yang dicampur dengan sedikit air

Apabila sudah kelihatan sebati, masukkan ciliboh dan air perahan asam jawa, kacau sehingga rata serta masukkan satu bungkus rempah sup bonjot

Masukkan daging, kacau dan balik-balikan sehingga rempah meresap

Kemudian masukkan buah tomato dan bawang yang telah dibelah lapan tadi serta dicampurkan garam, gula dan serbuk perasa secukupnya

Tutup periok dan biarkan ia mendidih sehingga daging kelihatan empuk. Kacau sekali sekala supaya melekat di periuk

Apabila air semakin kering dan daging kelihatan empuk masukkan daun saderi, beras dan 4 cawan air.

Gaul bersama bahan bahan di dalam periuk dan biarkan ia mendidih sehingga kering (seperti memasak nasi biasa)

Apabila nasi hampir masak, masukan perahan air limau nipis dan kismis serta kacau rata.


DALCA

Bahan-bahan

1/2 ekor ayam

1 bungkus serbuk kari daging

8 ulas bawang merah

3 ulas bawang putih

2 sm halia

Sedikit rempah menumis ( cengkih, kayu manis, buah pelaga dan bunga pekat)

2 tangkai daun kari

2 sudu air asam jawa

Secawan kacang dal

1 batang karot (lobak merah)

2 biji terung

5 batang kacang bendi

Beberapa batang kacang panjang

3 biji tomato

3 biji ubi kentang

2 labu bawang besar

4 cawan santan

Minyak untuk menumis

Garam dan serbuk perasa



Cara membuatnya



Ayam dipotong kecil-kecil dan dibersihkan

Sayur sayuran juga dipotong dan dibersihkan

Kacang dal direbus hingga empuk dan ditoskan

Bawang merah, bawang putih dan halia ditumbuk lumat

Panaskan minyak dalam periuk dan tumis rempah menumis bersama bawang yang telah ditumbuk tadi

Apabila sudah kelihatan kekuningan masukkan serbuk rempah kari daging yang dicampur dengan sedikit air, kacau sehingga sebati dan biarkan ia garing

Masukkan air asam jawa, daun kari dan dikacau rata kemudian masukkan ayam serta ubi kentang

Masukkan santan, garam, serbuk perasa secukupnya dan kacau sekali sekala

Apabila sudah mendidih, masukkan terung, kacang panjang dan karot

Bila sudah hampir masak, masukkan kacang bendi, tomato, bawang besar dan kacang dal yang telah direbus tadi

Kecilkan api dan biarkan ia mendidih seketika supaya kelihatan "pecah minyak"

Kemudian diangkat dan dihidangkan bersama acar.



ACAR

Bahan-bahan

3 batang timun yang sederhana besarnya

1 batang karot

250 gm bunga kobis

2 biji lada merah

3 ulas bawang merah

2 ulas bawang putih

Sedikit serbuk kunyit

2 sudu besar bijan (digoreng tanpa minyak sehingga garing)

3 sudu cuka

Garam, gula dan serbuk perasa

Minyak untuk menumis



CARA MEMBUATNYA



Timun dipotong kecil sepanjang 4 sm

Karot juga dipotong halus

Bunga kobis dipotong kecil kecil

Bawang merah dan putih ditumbuk lumat

Panaskan kuali, masukkan 3 sudu besar minyak dan tumis bawang yang telah ditumbuk sehingga garing

Apabila kelihatan sudah garing, masukkan serbuk kunyit, garam, gula, serbuk perasa dan cuka

Masukkan sayur sayuran dan bijan yang telah digoreng, kacau rata. 2 hingga 3 minit kemudian diangkat


Rujukan: KakWan website

Comments

Popular posts from this blog

Petua Merangup Badam dan Biskut Almond London

Mee Hokkien Hitam Pekat

Berbagai Jenis Rendang